Bab 5 - Joni Et Cinema

Mungkin kata dendam lebih menjelaskan hal yang mulai membenih di hati mereka ketika mereka menapak keluar dari panggung, meninggalkan Sunway Pyramid menuju ke restoren mamak Ameer Ehsan. Kesumat pencinta filem seperti mereka yang baru menyedari bahawa cinta mereka akan dibunuh digital.
Joni, Farhan dan Idham cari meja yang paling stategik untuk mereka lepak sambil cuci mata, melihat gadis Cina yang berpakaian baju-tee sendat, seluar pendek tahap sendat takat peha. Belanja. Mereka duduk di meja di perkarangan kaki lima restoren. Joni hanya mendiam. Matanya meliar melihat sekitar restoran. Farhan duduk sambil mula selak buku komik Superman volume 12 yang baru di-swap dari seorang lelaki Cina yang dikenalnya melalui forum internet, dengan komik Superman volume 10 miliknya, sebelum dia tiba di panggung awal petang tadi. Farhan, memang peminat tegar komik. Koleksi lengkap komik Dragonball kesayangannya dulu masih ada di dalam biliknya di pangsapuri tempat mereka tinggal, yang kini sudah dijadikan bilik bacaan sejak dia pindah dan tinggal bersama isterinya setahun yang lalu. Seorang lelaki India menghampiri dan ambil pesan mereka. Usai pesan minuman, lelaki India itu beredar.
“Tujuh tahun aku kat dalam panggung ni. Hidup aku cuma dalam bilik projektor, dengan projektor filem dan dalam sinema. Apa lagi yang aku boleh buat lepas ni? Tak pasal-pasal kena buang kerja. Sial digital cinema ni! Habis film projectionist macam aku ni nak makan apa? Apa yang aku tahu pasal digital? Aku cuma tahu seluloid filem. Make-up filem. Potong sambung filem. Yang aku tahu cuma duduk dalam panggung tengok filem. Apa lagi yang aku boleh buat lepas ni? Niaga nasi lemak kat tepi jalan, kaki lima LRT wangsa maju?” Keluh Joni.
            “Aku sekarang ni rasa macam nak masuk dalam panggung tu, tembak je semua orang. Ambil pump gun, tembak kepala Micheal berkecai! Macam James Holmes ‘The Joker’ yang gila Health Ledger kat Amerika dulu tu,” sambung Farhan sambil meletakkan komik yang dibacanya di atas meja. Riak Farhan seperti ada dendam dengan lagak seperti ditangannya memegang sepucuk senapang patah, mengacukan senapang itu tepat ke muka Idham.
“Aku baru sembang dengan Joni pasal benda ni tadi,” celah Idham.
“Dulu arwah pakcik Sharif pernah cerita kat aku. Tahun 50-an sampai tahun 70-an dalam industri sinema kat negara kita ni ada union. Union ni perjuangkan hak pekerja panggung.” Jelas Joni.
“Kenapa sekarang tak ada lagi union ni?” tanya Farhan.
“Sebab dulu manusia panggung sama-sama perjuangkan hak pekerja. Buat union. Masa union ni ada, hak pekerja panggung dibela. Had kerja lebih masa. Kerja lebih masa dibayar overtime yang sewajarnya. Alaun makan, dan macam-macam elaun lagi lah, hal tentang panggung. Masa tu, manager pun tak boleh masuk campur hal teknikal walaupun dulu manager panggung sendiri boleh putarkan filem, sebab masa tu cuma ada satu projektor filem kat satu panggung. Tapi bila union ni berjaya perjuangkan hak pekerja panggung, mereka yang terpilih jadi ketua union ni mula gila kuasa. Dorang mula fikirkan hak-hak peribadi dorang. Untuk lebih berkuasa. Dorang guna union ni untuk kesenangan diri dorang sendiri. Akhirnya bila orang-orang bawah panggung ni sedar mereka diperguna, dah terlambat. Mereka antara mereka sendiri bergaduh dan lepas tu berpecah. Dan akhirnya union ni dengan manifesto mereka dulu, hilang macam tu je.” jelas Joni lagi.
“Bukan ke kita ada jabatan buruh sekarang?” sinis Idham.
“Tak sama macam union film projectionist dulu. Yang khusus hal panggung dan projectionist filem. Sebab orang yang perjuangkan hak pekerja panggung ni, orang-orang panggung sendiri. Dorang lebih faham dan tahu masalah pekerja panggung.” jelas Joni lagi. “Suara projectionist filem yang hidup sebagai ‘buruh’ menuntut keadilan tiada lagi union dulu, untuk menyatakan hasrat yang kita tak akan dibutakan dengan pampasan, untuk dorang tendang kita macam bola!”
“Tapi, tak kan sampai mati kau nak duduk dalam panggung ni. Sampai masa, kita kena keluar juga, cari hidup kat luar. Dari selama duduk dalam gelap bilik projectionist tu. Aku rasa dah sampai time.” Ujar Idham. “Kita masuk sinema atas dasar mencari sensasi hidup! Yang kononnya kita cintakan sinema. Kita masing-masing mencari landasan hidup sebenar, gunakan panggung untuk tempat singah, berhenti berteduh untuk kita cari arah hidup, dan lepas itu, kita semua kena teruskan hidup ke arah jalan yang dah ditentukan tu. Aku tanya korang lah, lagi 10 tahun, kat mana kau nampak diri kau?’
            Farhan dan Joni hanya diam, mata mereka asyik memandang ke arah gadis-gadis dari One Academy yang berjalan mundar-mandir di depan mereka.
            “Asal kau tanya?” Soal Joni sambil menyalakan sebatang rokok.
“Aku pun tak tahu, apa sebenarnya aku nak buat dengan hidup aku ni,” Jawap Farhan. “Lima tahun aku kerja kat panggung ni, tak pernah buat hal. Cukup bulan aku tahu dalam bank gaji dah masuk. Setiap pagi pergi kerja, habis kerja balik rumah  jumpa bini aku. 5 tahun itu yang aku buat setiap hari. Tahu-tahu dah nak kena buang kerja. Aku pun macam Joni cakap tadi, tak tahu apa aku boleh buat lepas ni,” jelas Farhan lagi. 
“Okay, kalau kau ada 100 juta, apa yang kau akan buat?” soal Idham lagi.
“Kalau aku ada 100 juta, aku nak beli rumah besar kat Langkawi, dengan bini dengan anak aku. Kat langkawi, aku buat business jual motor besar. Tiap-tiap petang aku bawa bini aku ride motor Harley Davidson Forty Eight aku kat jalan raya tepi pantai” jawap Farhan dengan angan herotopianya. “Kenapa?”
“Okay, tak,” kata Idham di celah.
“Okay ke tak ni? Mana satu kau ni? Cakap pun tak betul,” sinis Joni.
“Tak, sebab aku pernah baca, kalau kau tanya orang, apa dia akan buat kalau dia ada 100 juta. Jawapan yang dia bagi tu lah sebenarnya benda yang sepatutnya dia buat dalam hidup dia. Sebab jawapan yang dia bagi tu benda yang akan buat dia happy. Contoh kalau dia jawap macam Pa’an, dia nak jual motor besar, sepatutnya sekarang dia kerja jual superbike, sebab kerja tu yang buat dia happy.’
“Kalau aku ada 100 juta, aku nak duduk dalam cinema tengok movie hari-hari,” jawap Joni.
“Kalau tengok movie hari-hari yang kau nak, kau tak payah ada 100 juta pun Joni.” Ujar Idham.
Lelaki India, pelayan restoren mamak itu tadi datang dan meletakkan minuman yang mereka pesan di atas meja.
“Hang nampak gelisah Pa’an? Apahal?” tanya Joni sambil reguk kopi.
“Mana tak risau, apa aku nak buat lepas ni? Mana aku nak pergi? Anak aku yang baru nak lahir ni nak makan apa?” jawap Farhan mengeluh sambil mulutnya menyambut kopi panas.
“Quo Vadis.” Ujar Joni dengan nada perlahan pada dirinya sendiri.
“Apa tu? Dialog jampi serampah bahasa Latin drama tv siri ‘Vampire Diaries’ ke?” Tanya Idham sinis.
“Quo Vadis dalam bahasa Latin maksud, nak pergi mana?” jawap Joni.
“Hmm,Tum Kahan Jaa?” bilas Idham sinis.
“Huh?” bilas Joni dengan riak wajah lebih pelik.
“Hahaha. Kau banyak sangat tengok hidustan ni Idham,” ujar Farhan.
“Joni tu yang banyak sangat tv siri omputeh. Tak pun, kepala otak dia tu dah berlubang, banyak sangat fikir pasal filem-filem Perancis yang dia dok selalu tengok kat rumah tu.” Sinis Idham lagi sambil mengusap perutnya yang semakin membuncit. “Ada banyak lagi benda kat luar ni yang lebih baik kalau nak dibandingkan dengan korang duduk dalam gelap bilik projektor tu. Korang tak akan jumpa benda-benda ni kalau korang tak nak berubah. Orang yang tak nak berubah ni akan sembunyi dalam gelap selama mungkin sebab takut kat luar sana orang akan nampak kelemahan dia,” sambung Idham lagi. 
Mata Joni bergulir memandang seorang gadis Cina yang baru sahaja duduk di meja depan mereka. Kata sinis Idham dibunuh dek gadis Cina di depan matanya.
“Dah lah, aku nak gi amek nasi kandar. Lepak layan korang macam ni, memang tak ke mana. Lambat. Quo Vadis Joni? Quo Vadis?” sinis Idham sambil bangun dan berjalan masuk ke restoren untuk ambil makanan.
Farhan dan Joni masing-masing jelik mendengar kata Idham.
“Quo Vadis nenek hang. Bukan kau yang nak kena buang kerja. Kau boleh lah sembang.” Cebik Joni.
“Kau rasa betul ke kita nak kena buang kerja ni? Matilah aku Joni. Bini aku tengah mengandung lapan bulan. Anak aku lahir nanti nak makan apa Joni? Aku nak cakap apa kat bini aku nanti?”
“Kau relax je dulu. Kita tengok lepas test minggu depan nanti macam mana,”  jelas Joni cuba menenangkan resah Farhan.
Usai makan, mereka menapak balik panggung. Tiba di lobi, Idham terus ke kaunter tiket box, mula meleseh dengan Effa, gadis muda berusia awal 20-an, pekerja part-time panggung yang bertugas di kaunter tiket box. Farhan dan Joni melewati kaunter tiket point ( kaunter sebelum masuk ke koridor panggung di mana pekerja panggung akan periksa tiket wayang ). Mereka menelusuri koridor panggung dan keluar di pintu exit, menaiki anak tangga ke bilik projector panggung yang terletak satu tingkat di atas.
“Kau tahu tak, masa Tarantino tayang filem Pulp Fiction kat Cannes tahun 1994 dulu, filem dia je yang main kat Cannes guna 35mm filem. Yang lain tak pakai filem pun. Semua main pakai digital,” jelas Joni sambil membelek komputer riba Macbook di meja computer itu.
“Asal dia sorang main pakai filem?” tanya Farhan lagi.
“Dia kata bukan sebab filem zaman sekarang tak shoot guna filem, tapi sebab dia percaya filem itu harus dihormati sebagai filem dengan menayangkan filem itu dengan menggunakan filem. Kalau pun kau shoot filem kau guna kamera digital, atleast filem kau harus ditayangkan guna filem. Semangat filem 35mm yang main kat panggung ni lain,”
Dumm!
Dentuman besi kuat di hujung bilik tersebut mematikan perbualan mereka. Lampu LED nombor tujuh pada kotak film surveillance yang berada di atas meja tersebut berkelip-kelip dan berbunyi nyaring, menandakan filem yang dimainkan di panggung tujuh sudah selesai. Mata Joni melihat ke arah panggung tujuh. Farhan bangun meninggalkan Joni, berjalan ke arah panggung tujuh. Dia capai ekor seluloid 35mm filem di atas platter  (besi bulat yang digunakan sebagai tempat letak gelung besar filem) dan dia berhentikan platter yang masih berpusing. Dia keluarkan kepala filem lalu dipasang seluloid filem ke mesin projector filem Cinemacanica panggung tersebut. Seluloid filem dilekap pada gate dan diterap elok di depan lensa kepala mesin projector Cinemacanica. Siap seluloid diterap, Farhan tekan butang on dan mesin projector berjalan menggerakkan seluloid filem menelusuri di kepala mesin projektor dan kepala filem tadi disambung pada take-up paltter.
Filem sudah sedia untuk ditayangkan pasa mesin projector panggung tersebut. Farhan kembali ke meja, melihat Joni sedang termenung di layar telefon pintarnya. Dia sedang muat turun lagu dari youtube.
“Kau dengan Darlia macam mana?” tanya Farhan cuba mengintai isi hati Joni.
Joni hanya mendiam sambil menunggu telefon pintarnya usai muat turun.
“Kalau kau nak tunggu Anna Karina kau muncul, sampai mati kau tak akan jumpa Joni. Kau ni taksub sangat dengan Anna Karina. Ke kau nak sangat jadi Godard?”
Siap muat turun. Joni bangun berjalan ke muka pintu bilik projektor tersebut.
“Nak pergi mana?” tanya Farhan.
“Lepak dalam panggung,” jawap Joni dengan wajah polos.

Sementara di lobi panggung, orang ramai berdedai, jejal, masuk ke dalam pawagam dan masing-masing mengambil tempat duduk. Di pinggir panggung sinema tujuh, Joni duduk di kerusi di dalam panggung. Dia pandang ke atas lubang porthole bilik projektor panggung tersebut dan menyedari Farhan sedang melihat ke dalam panggung, orang ramai, sedang menunggu wayang mula diputarkan. Farhan mengangkat tangannya pada Joni, memberi isyarat sedia. Atau mungkin semuanya okey? Joni yang menyedari situasi itu, memusingkan kepalanya ke arah bilik projektor, di atas lubang porthole bilik projektor dan tersenyum. Panggung mulai gelap. Filem mula diputarkan. Joni mula menjamah bertih jagung yang diambil di kaunter konsesi sebelum masuk ke dalam panggung tadi. Sepuluh minit masa berlalu. Naratif filem tiba di kemuncak plot point pertama cerita Joni.

Bab 4 - Joni Et Cinema

13 November 2014, 4:00 pm

“Joni! Bangun!” tempik suara dengan nada yang membingit.

Punggung Joni dijamah telapak kasut Dr. Martens Red Cherry high cut saiz 10 dipakai Idham yang berkali-kali cuba mengejutkannya yang dari tengahari tadi lena tidur mengiring menghadap ke penjuru muka dinding, berdengkur di atas karpet pengesat kaki pintu tandas yang disusun seperti tilam di sebelah mesin projektor filem Cinemachanica panggung Beanieplex di bilik projektor itu. Perlahan Joni memusing tubuhnya menghadap Idham, dengan walkie-talkie yang masih terikat dengan getah rambut di kepalanya. Lohong walkie talkie melekat di cuping telinga. (Walkie talkie yang diikat di kepala dengan lohong walkie talkie itu di cuping telinganya kerana dia dapat mendengar kalau ada orang yang memanggilnya menerusi walkie-talkie tersebut ketika dia sedang tidur.)

“Apa hal ni?” Joni termonyeh dengan nada lesu membuka benak matanya. Dia usap pipinya dek gusi gerahamnya yang masih berdenyut, bengkak di hujung anak gigi geraham masih terasa.
“Orang panggil kau kat walkie tak jawap?” Tanya Idham sambil mengintai ke dalam panggung melalui lubang pothole di depan mesin projektor filem Cinemacanica.

Di layar lebar, filem The Last Song sedang menatal. Penonton ralit tonton sambil baring di atas beanie bag ditemani bertih jagung dan minuman soda, sambil tangan mereka merayap entah kemana dalam gelap.

Joni capai walkie-talkie yang diikat di kepalanya. Di belek walkie talkie tersebut dan menyedari bateri walkie-talkie sudah mati.

“Pukul berapa sekarang?”
“Pukul 4:00. Bukan main senang kau buat duit.” Ujar Idham sambil duduk di sebelah Joni dan menyalakan sebatang rokok. “Kau pernah dengar tak cerita pasal James Holmes, yang percaya dia ‘The Joker’ yang Health Ledger berlakon, sebelum dia baling gas pemedih mata kat dalam panggung yang penuh dengan penonton dan lepas tu tembak dan bunuh 12 orang dan cederakan 50 orang lain. Cerita ni jadi dekat bandar Aurora, Colorado dekat panggung wayang yang masa tu, tengah tayang filem 'The Dark Knight Rises'. Orang kata dia warnakan rambut dia dengan warna merah, beli tiket dan masuk dalam panggung sebelum dia tembak semua orang dalam panggung tu. Gila kan?”
“Apa hal tiba-tiba kau kejut aku cerita pasal benda ni?”
“Tak ada lah. Aku sampai sekarang tak dapat bayangkan apa yang ada dalam kepala otak dia masa tu. Masa dia masuk panggung, tembak semua orang dalam panggung tu. Kau bayangkan, kau dalam panggung leka tonton filem. Tak pernah terlintas langsung dalam kepala otak kau yang ada orang gila macam dia, akan datang dalam gelap panggung tembang kau. Mampus! Macam dalam filem Quentin Tarantino - Inglorious Basterds.”
“Kau ingat Tarantino yang mula buat cerita kepung penonton dalam panggung, lepas tu bunuh semua orang dalam panggung tu. Kalau kau nak tahu dekat negara kita pun ada cerita macam tu yang betul-betul pernah terjadi. Dulu aku pernah dengar cerita ada sorang pegawai polis ni dia tinggal kat Kuala Lumpur. Malam 13 Mei 1969, dia pergi tengok filem dekat panggung Odean, Jalan Tuanku Andul Rahman. Pemuda-pemuda Cina dari kongsi gelap, kepung panggung Odeon. Masa tayangan malam tu, ada beberapa iklan dalam bahasa Cina dekat skrin panggung suruh penonton bangsa Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu pula duduk di dalam panggung tak tahu apa-apa. Pemuda-pemuda Cina dari kongsi gelap ni serbu dalam panggung, tetak dan bunuh ramai penonton Melayu dalam panggung dengan parang. Lepas tu dorang tutup pintu panggung dan bakar panggung tu.” cerita Joni pada Idham.

Idham hisap hembus asap rokok deras lalu dimatikan rokoknya itu di dalam ashtray yang berada di atas meja komputer, di sebelah mesin projektor digital cinema IMAX. “Dah lah. Jom, Micheal panggil kau dengan Farhan meeting kat sinema satu. Sekarang.” Ujar Idham.
“Micheal panggil meeting? Apahal? Pa’an mana?” Soal Joni sambil perlahan bangun dan duduk tersandar pada dinding, mengusap rambut kusutnya yang menggerutu.
“Pa’an baru sampai tadi. Dia dah ada kat dalam sinema satu. Micheal dengan Razuan pun ada kat sana dah.” Ujar Idham lagi.
“Apa hal tiba-tiba Micheal panggil meeting ni?” sinis Joni lagi sambil menguap panjang, mungkin kantuk mendengar cerita gila Idham.
“Entah. Nanti kau tahu lah. Jom,” bingkas Idham berjalan meninggalkan Joni yang masih cuba menghadam bingungnya.
Joni pantas bangun lalu membontot Idham ke muka pintu keluar bilik projektor sambil kemas baju uniformnya yang berwarna biru gelap dan berkolar merah, punya lambang TGV Cinemas di poket dada kirinya. Bajunya disisip masuk ke dalam seluar jeans Levis 501 lusuh. Dia usap rambutnya yang serabai. Matanya sempat melihat ke arah semua mesin projektor filem Cinemacanica yang sedang berputar memainkan wayang gambar dengan baik. Mereka menuruni anak tangga dan keluar dari pintu keluar panggung masuk ke koridor panggung lalu berjalan masuk ke dalam sinema satu.

Dari atas panggung, Micheal dan Razuan sedang berbual di bawah panggung di depan layar lebar. Idham dan Joni menuruni anak tangga menghampiri mereka. Farhan, lelaki Melayu berusia lewat 20-an, memakai jaket rona biru dengan lencana butang Batman di sebelah poket kiri dada jeket itu, sedang duduk di kerusi panggung sambil sibuk melihat akaun Instagram pada telefon Iphone 4Snya. Mungkin sedang melihat berapa like yang dia dapat untuk gambar nasi kandar ‘ganja’ yang dia post ketika dia makan di restoren mamak Jalan Ara Kiri 3, Bangsar tengahari tadi. Di ribanya sebuah komik Superman. Joni dan Idham menghampiri Micheal dan dia duduk di sebelah Farhan.

“Okay. Can we start now?” ujar Micheal Chia, lelaki Cina berbadan gempal dan perut membuncit sedikit, merupakan Pengurus Besar TGV Cinemas.

Joni, Farhan dan Idham hanya mengangguk, keliru mengapa tiba-tiba pengurus besar TGV Cinemas datang untuk mesyuarat di dalam panggung yang hanya melibatkan tiga orang pekerja panggung tersebut. Aneh. Dengan wajah polos Micheal mulakan mesyuarat itu.

“As you know, TGV Cinemas is going to upgrade our cinema projector system from 35mm filem projector to Digital Cinema Projector System. Which mean, when the Digital Cinema Projector System starts to operate, there will be no more movies to be screen using the old 35mm film and Cinemachanica film projector. The cinema will no longer need your services as film projectionist,” jelas Micheal tenang.

Joni dan Farhan pandang ke arah masing-masing terdiam mendengar penjelasan Micheal.

“Tomorrow our technician contractor from Uegene Tech will come and start install the new Digital Cinema Projector for this hall. Cinema one. Razuan here, will assist Uegene Tech and they will teach you guys how to operate the Digital Cinema Projector. By next week, all cinema halls in TGV Sunway will be installed with Digital Cinema Projector. And by next week, the company will do a test for all current TGV Cinema film projectionist all location, here at Sunway Pyramid. The company will decide by the highest score from the test, who will we keep to work at CMS, content management system department at HQ or the company will pay VSS which is a voluntarily separation scheme to end their services for the company. Okay?” soal Micheal pada Joni dan Farhan. “Idham, as location manager, will assist Razuan on installing all the digital cinema projector,” sambung Micheal lagi.

Idham angguk. Diam hanya menurut. Seperti berat benak akalnya untuk mengatur kata.

“If everyone clear on this issue, I will leave you with Razuan and Idham. If you have any question, Razuan will explain it to you futher.” Ujar Micheal.

Joni dan Farhan masih terdiam. Joni hanya lihat Micheal meninggalkan mereka, berjalan di atas karpet merah menaiki anak tangga dan meninggalkan panggung. Razuan usap dahinya yang mulai membintik peluh, menghampiri Joni dan Farhan, menyedari dia harus membela hati teman-temannya dan menjelaskan hal yang paling sukar mereka terima.

“Maksudnya apa ni Wan?” soal Farhan pada Razuan yang merupakan ketua bahagian teknikal TGV Cinema satu Malaysia. Razuan juga bekas projectionist filem di panggung itu, sebelum dia dinaikan pangkat menjadi ketua teknikal sinema mengantikan Vincent, lelaki India berusia lewat 40-an, yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung tidak lama dulu.
“Maksudnya TGV dah tak nak pakai projektor filem. Dah tak ada lagi 35mm filem. Lepas ni semua movie kita tayang pakai sistem Digital Cinema Projector. Bila TGV dah pakai sistem digital sinema, TGV dah tak perlu lagi film projectionist sebab dah tak ada lagi kerja untuk film projectionist. Sebab semua digital projektor dah ada auto system.” Jelas Razuan cuba membela ralat di hati mereka, menyedari Joni dan Farhan bakal dibuang kerja.
“Habis CMS tu apa Wan?” Tanya Joni pula sambil memanjangkan kakinya yang mulai kebas di bawah kerusi panggung.
“CMS tu , content management system department kat HQ. Staff department ni yang akan jaga sistem digital filem yang akan sampai dari film distributor dan lepas tu akan hantar digital filem ni kat semua location TGV Cinema. Tapi tak semua film projectionist yang akan diserap masuk ke department CMS ni kat HQ. Sebab semua 23 location TGV Cinema satu Malaysia ada 92 film projectionist. Cuma 10 je yang akan diserap masuk ke CMS.”
“Yang lain macam mana?” Tanya Joni lagi dengan nada sedikit membentak.
“Macam Micheal cakap tadi, yang lain company akan bayar pampasan untuk berhenti kerja. Kita panggil proses ni VSS.”
“Test yang Micheal cakap tadi?” soal Farhan pantas mencelah penjelasan Razuan sambil membetulkan kedudukan punggungnya yang mulai panas.
“Minggu depan, lepas korang dah belajar macam mana nak operate sistem Digital Cinema Projector ni. Kita akan buat test. Siapa yang faham dan mahir dalam digital sistem ni lah yang company akan serap masuk dalam CMS.” Jelas Razuan.

Joni dan Farhan masing-masing menarik nafas panjang. Mengeluh. Cuba membela ralat di hati mereka. Razuan berjalan menghampiri Idham yang dari tadi duduk di belakang Joni dan Farhan, hanya mendiamkan, menyedari rakan-rakannya akan diberhentikan kerja.

“Kenapa baru sekarang company nak bagitahu kita?” soal Joni dengan nada lebih rendah. Menyirap.
“Sorry Joni, Pa’an. Sebenarnya aku dah dapat email dari HQ pasal isu ni dua bulan lepas. Tapi aku tak sampai hati nak bagitahu korang. Aku tak sanggup nak bagitahu. Aku diam, harap korang dengar berita ni dari Micheal sendiri. Biar dia yang explain kat korang.” Jelas Idham cuba memujuk.
“Chill. Korang ambil dulu test tu. Insya Allah aku cuba tolong mana yang boleh nanti.” Ujar Razuan membela hati mereka.

Dingin penghawa dalam sinema satu itu mulai membeku hati yang mulai meruntun. Sepi. Di muka pintu masuk panggung, sepasang kekasih melangkah masuk ke dalam panggung dan mencari tempat duduk mereka, menandakan waktu tayangan filem seterusnya di dalam panggung tersebut hampir bermula. Menyedari hal itu, Razuan bangun dan berjalan menaiki anak tangga ke muka pintu masuk dan keluar sambil berpapasan dengan penonton yang mulai masuk ke dalam panggung.

Joni hanya menggeleng. “I’m hoping that, while this generation is completely hopeless, that the next generation that will come out will demand the real thing.” Kata Tarantino yang pernah dibacanya dulu mulai tergantung dalam benak fikirnya,

“Dah lah Joni, Pa’an. Termenung pun tak dapat apa,” ujar Idham.

Bab 3 - Joni Et Cinema

29 NOVEMBER 2014, 1:20 AM

Sebuah kereta radio peronda polis tiba di perkarangan balai Polis Bandar Sunway. Pintu kereta radio peronda dibuka dan Joni dengan tangannya bergari, ditemani seorang pegawai polis berpangkat lans koperal dibawa keluar dari perut kereta dan melangkah masuk ke dalam balai. Dengan langkah lenggeng dia dibawa masuk ke dalam sebuah bilik di belakang balai, diarah untuk buka baju dan seluarnya selepas gari ditangannya dibuka. Baju seragam TGV Cinemas dan seluar jeans lusuhnya dibuka ikut arahan. Baju, seluar, dompet dan jam tangannya dicampakan ke dalam sebuah kotak kosong jenama susu Dutchlady yang diletakkan di atas meja. Seorang pegawai polis menghampiri kotak tersebut dan mencapai dompet Joni, dilihat di dalam dompet tersebut menyedari di dalam dompet itu tiada langsung wang.

Joni dari awal sudah diberitahu oleh seorang pegawai polis bahwa dia harus hanya bawa kad pengenalan sahaja dan diminta untuk tidak membawa langsung duit ke balai, ketika dia ditahan di panggung lewat malam tadi. Jadi semua wangnya diletakkan di dalam laci meja komputer di bilik projektor. Kotak yang berisi pakaian dan barang peribadi Joni dibawa keluar dari bilik sementara seorang lagi pegawai polis menghampiri Joni. Dia diarahkan untuk duduk di atas sofa di depan meja. Pegawai polis berpangkat lans koperal tadi menghampiri Joni, duduk dan meminta Joni untuk beri keterangan.

Usai laporan diambil, Joni diminta untuk menurunkan cap jarinya pada borang. Kesemua sepuluh jari Joni dicap pada borang tersebut. Joni yang hanya berseluar boxer di bawa keluar dari bilik tersebut menghampiri lokap yang terletak di belakang balai. Joni masuk ke dalam lokap, duduk di satu sudut di atas muka lantai konkrit yang mulai membeku telapak kakinya. Suasana sepi. Hanya suara peti televisyen yang datang dari depan balai mengisi ruang dingin lokap tersebut. Sesekali terdengar suara datang dari lohong radio komunikasi yang berada di dalam bilik di depan lokap, bilik di mana Joni diminta untuk beri keterangan tadi. Di dalam lokap tersebut, dua lagi lelaki duduk di depan Joni. Seorang darinya lelaki Melayu berbadan sado, duduk betul-betul di depan Joni, kemudian mengesut tubuhnya yang berlengas menghampiri Joni. Di wajahnya ada kesan lecur di pipi sebelah kiri yang masih lagi merah.

“Kau masuk sini apahal?”
“Suspek rompak bang,” jawap Joni tenang.
“Kau rompak bank?”

Joni menggeleng.

“Kedai emas?” entah kenapa lelaki itu seperti teruja.
“Sinema,” jawap Joni tenang.
“Sinema? Panggung wayang? Tak pernah dibuat orang rompak panggung wayang.” Sinis lelaki itu dengan tawa kecil.
“Abang?” tanya Joni pula memecah tawa lelaki itu.
“Curi cable elektrik.” Jawap lelaki itu sambil menunjukkan parut lecur di kulit mukanya yang masih merah. “Masa aku nak curi cable, badan aku tersangkut kat tiang, kena renjatan elektrik. Masa aku menggelupur kena elektrik, orang yang nampak aku masa tu, bukan nak telefon ambulan. Dorang telefon polis dulu. Celaka.”
Joni cuba tahan gelak. “Bila jadi ni?” tanya Joni.
“Malam tadi,” jawap lelaki tersebut.
“Yang sorang lagi tu kenapa bang?” tanya Joni ke arah seorang lagi lelaki muda. Remaja mungkin. Bangsa India. Wajahnya meruyup hanya tunduk ke muka lantai.
“Entah, katanya tadi sebab simpan senjata api.” Jelas lelaki itu.

Joni diam memandang jauh ke arah lelaki India itu yang sedang duduk bersila di hujung lokap. Entah kenapa Joni tidak langsung hairan mengetahui lelaki semuda dia mampu untuk punya senjata api. Bukan susah mana pun untuk memiliki senjata api di Malaysia waktu ini.

Pintu lokap dibuka. Nama Joni dipanggil. Perlahan Joni bangun menghampiri pegawai polis di muka pintu lokap, melangkah keluar dan kemudian dia dibawa masuk ke bilik di belakang balai. Di dalam bilik, Joni duduk di atas sofa buruk yang berbau hapak. Hamisnya seperti bau kencing kucing. Seorang pemuda masuk ke dalam bilik tersebut sambil membawa secawan minuman Starbucks.
Entah kenapa kalau pegawai penyiasat mesti kena pegang cawan kopi. Pemuda itu duduk di atas kerusi lipat depan sofa tempat Joni duduk.

“Nama kau Johan?” tanya pemuda berbaju t-shirt kolar dan seluar jeans.

Joni angguk kepalanya yang mulai kantuk.

“Saya Inspektor Rino Irwan. Dah lama kau kerja dekat panggung?” tanya Inspektor Rino sambil mereguk minumannya.
“Dekat tujuh tahun,” jelas Joni.

Pintu bilik diketuk. Seorang pegawai polis masuk ke dalam bilik dan menyerahkan sekeping fail pada Inspektor Rino, “Tuan, ni laporan awal kes rompakan panggung tu,” jelas pegawai polis tersebut.

Inspektor Rino Irwan mula meneliti laporan tersebut. Wajah Joni mulai nampak resah walaupun dia percaya yang dia langsung tidak terlibat dengan kes rompakan panggung yang berlaku awal malam tadi. “Kau tahukan kau suspek utama kes ni? Pihak polis akan tahan reman kau selama tujuh hari. Mr. Micheal ni siapa?” tanya Inspektor Rino Irwan.
“Dia GM TGV Cinema. Dia yang mula ambil saya kerja dekat panggung tu.” Jelas Joni sedikit meredap, menyedari dia akan dihambat ke dalam lokap selama tujuh hari.
“Ikut apa yang dia lapor kat sini, Mr. Micheal ni cakap kau pernah rancang nak rompak sinema tu?” tanya Inspektor Rino lagi.

Joni hanya diam.

“Betul saya pernah cakap nak rompak sinema tu. Tapi bukan saya yang rompak tuan. Saya main-main je masa saya cakap tu.” Jelas Joni.
“Idham Chan. Kau kenal Idham?” tanya Inspektor Rino lagi.
“Dia manager panggung. Housemate saya.”
“Mana dia sekarang?”
“Saya tak tahu tuan. Saya tak tahu mana dia sekarang.” jelas Joni cuba menyakinkan Inspektor Rino.
“Okay. Kau cerita dekat aku dari mula. Apa yang sebenarnya jadi kat panggung tu, dari mula kau kata kau rancang nak rompak sinema tu, sampai malam tadi, bila panggung tu kena rompak” kata Inspektor Rino lalu campak fail yang dipegangnya ke atas meja. Dia reguk minumannya lalu sandar tubuhnya pada kerusi lipat.

Bab 2 - Joni Et Cinema

29 November 2014, 00:23 am

Sementara saat waktu berhenti dari tadi mulai berdetik kembali, ketika deru kenderaan tak putus-putus datang dari lebuhraya ditemani dingin malam yang meniup derai langsir rona ungu di muka jendela. Mata lesunya perlahan dibuka. Jemari kebah mula berdansa di hujung katil dan perlahan mengusap ubun membingit seperti ada yang memekik. Menyedari dia di atas katil yang terbentang luas, sendirian. Tubuhnya rimas terasa berjelekit. Seluar boxer hitam dan baju tee putih kuyup kebasahan. Cadar putih gebu diselimuti darah rona likat masih pekat. Udara pekung tiap rinci ruang. Perlahan suara pembaca berita mengisi kembali benak dari lohong peti televisyen yang masih bernyawa. Keliru, telapak tangannya menyeka wajah lesu. Wajah melekit kebasahan. Dalam lesu dia bangkit dari katil, menyedari dia di dalam sebuah bilik hotel murahan. Ruang bilik kelam, bersepah seperti baru sahaja usai pesta. Hanya bias cahaya dari kotak televisyen yang menerangi ruang berbalam. Bekas kotak pizza dan tin minuman bersepah di muka lantai. Sebuah bagasi rona hitam yang terkuak luas di muka lantai di tengah timbunan tin minuman. Di dalam beg tersebut, sebuah topeng anjing dan kepingan wang yang berselerak. Dihala langkah ke cermin sebuah meja tulis. Melihat wajahnya terpalit darah likat, berkapur putih dengan rambut hijau gelap, kerinting mengerutu tebal. Tubuhnya mulai mengelugut. Gigil. Dingin angin mendesir langsir jendela menusuk resahnya.

Bingungnya kemudian direntap bunyi deruan flush. Di susuli paip air dibuka. Kemudian ditutup. Seketika seorang lelaki Melayu segak bersut hitam keluar dari muka pintu tandas menghampiri dan berdiri di sebelahnya, mengemaskan sut, merapi rambut kemasnya sambil tersenyum. Dicapai botol mineral cap tanah air di atas meja menghampiri sofa di pinggir ruang. Dicampakkan kain cadar putih yang diliputi tompok likat rona merah di atas sofa ke atas muka katil, pantas duduk. Dibukanya penutup botol mineral.

“Kau siapa?”
“Soalan yang sebetulnya kau tanya, siapa kau sebenarnya?” jawap lelaki bersut hitam dengan nada tenang sambil mereguk air.

Dia terdiam.

“Relax. Duduk,” ujar lelaki bersut hitam tenang sambil menutup botol mineral dan meletakkannya di atas lantai di sebelah kanan sofa.

Dia yang masih tercatuk di muka cermin perlahan menghampiri tingkap bilik yang terkuak luas. Fikirnya jauh menghilang dari tubuh, menyedari bilik itu terletak di pinggir kota kerana dari jendela itu, cahaya Kuala Lumpur tampak luas terbentang dalam gelap malam.

“Kau boleh cerita macam mana kau ada kat sini?” soal lelaki bersut hitam.

Dia hanya mendiamkan diri.

“Kau kenal siapa perempuan ni?” soal lelaki bersut hitam sambil memberikannya sekeping foto.

Tangan gigilnya menyambut foto dan menatap gambar tersebut. Perlahan dia hanya menggelengkan kepala.

“Perempuan ni hilang dua hari lepas. Kali terakhir dia dilihat ada dengan kau,”

Dia pantas menghampiri katil yang berselerak dan duduk di tengah katil tersebut. “Aku tak tahu siapa dia. Aku tak tahu macam mana aku ada dalam bilik ni,” nadanya menggumam.

“Darah ni darah dia. Kat tangan kau tu, darah dia. Kau bunuh dia! Bagitahu mana kau campak mayat dia,” ujar lelaki bersut hitam itu lagi.

Bab 1 - Joni Et Cinema

28 November 2014, 8:55 pm

“Fear can hold you prisoner, hope can set you free,” entah kenapa kata Red dari filem Shawshank Redemption berlegar dalam fikirannya ketika itu. Di ambang kematian seluloid filem 35mm, dan era filem digital mula meresap masuk ke dalam dunia sinema, sepasang tangan meraba dalam gelap, di muka dinding dan perlahan turun ke dasar lantai. Debu hitam menebal di telapak tangannya yang berpeluh. Dalam gelap, nafasnya berdegub kencang. Paranoia sensasi phasmophobia berada dalam ruang gelap buat tubuhnya menggelugut. Benar dia sudah mangli berada dalam ruang gelap. Tapi gelap yang kali ini berbeza.

Sedang lagu Les Poetes nyanyian Jean Ferrat sayup seperti memanggil-manggilnya dari ruang berbalam. Dia merangkak perlahan, melewati deret mesin projektor filem 35mm Cinemacanica yang berhablur hitam, seperti sudah ditinggalkan, menunggu masa untuk dihantar ke muzium sejarah sinema atau mungkin kedai besi buruk untuk dikitar semula dan dijadikan mesin dalam bentuk yang lain, yang baru dan lebih berguna, berfungsi untuk sepuluh dekad akan datang.

Perlahan dalam gelap dia meranduk plastik pemisah yang tergantung di muka pintu, di tengah ruang tersebut, menuju ke arah suara nyanyi Jean Ferrat, sehingga dia terpelosok di bawah sebuah meja. Telapak tangannya yang berdebu hitam meraba meja tersebut sambil dia bangun dan meraba di atas permukaan meja mencari tetikus komputer riba lalu menggerakkan sensor tetikus. Cahaya dari layar komputer riba bernyala, menerangi ruang bilik yang masih gelap berbalam. Dia capai laci paling bawah. Di buka laci mencari sesuatu. Pantas dia capai lampu suluh dan cuba nyalakan lampu suluh tersebut. Tidak bernyala. Dihentak beberapa kali lampu suluh tersebut. Namun masih tidak bernyala. Dia mengeluh lalu menyerah dan mencampakkan lampu suluh ke muka dinding, di belakang sebuah mesin projektor filem digital yang tidak bernyawa. Sedang lagu Les Poetes nyanyian Jean Ferrat masih lagi menemaninya dalam gelap.

Lampu bilik kembali terpasang. Terang. Mesin digital cinema projector di dalam bilik projektor filem tersebut kembali terpasang dengan sendiri dan memainkan semula filem secara automatik. Gambar wayang kembali menatal di layar lebar di dalam panggung. Kipas pendingin di atas setiap mesin digital projektor bersama runut bunyi filem dari rak audio kembali mengisi ruang bilik projektor.
Lampu suluh yang dicampak di muka lantai tadi bernyala. Dia capai kembali lampu suluh itu. Dia cuba matikan pula lampu suluh tersebut. Tapi tak terpadam. Diketuk lagi beberapa kali. Masih tak terpadam. Tanpa hati, dia bawa sahaja lampu suluh tersebut bersamanya dan periksa setiap panggung, memastikan setiap digital cinema projector filem menayangkan semula filem dalam keadaan baik. Cahaya dari mesin digital cinema projector yang menayangkan filem terbias dari kaca lubang pothole (lubang kaca di dinding depan mesin projektor yang memancarkan gambar ke muka layar lebar di dalam panggung) di depan mesin tersebut, mencapah ke muka lantai memperlihatkan gerak manusia menari dan menyanyi, kejar dan dikejar, bercinta dan membenci di muka lantai berdebu, dari setiap lubang pothole panggung. Dia melewati bias cahaya di muka lantai berjalan dari panggung tujuh, melewati deretan mesin projektor filem 35mm Cinemacanica yang disusun di tepi dinding, tidak lagi digunakan. Dia masuk ke bilik digital cinema projector IMAX, lalu pantas menuju ke mesin projektor filem Cinemacanica yang satu itu, yang masih menayangkan filem menggunakan seluloid filem 35mm di panggung satu yang terletak berhampiran muka pintu masuk bilik projektor panggung tersebut. Dia julur kepalanya melihat ke dalam panggung dari lubang pothole panggung satu. Menjengul melihat penonton di dalam panggung kembali tenang tonton ke layar lebar menonton filem Malaysia “Hanyut”.

Sebaik rangkap terakhir lagu Les Poetes nyanyian Jean Ferrat selesai, loceng penggera kecemasan berbunyi sayup datang dari tingkat bawah.

“Apa lagi hal ni?” bentaknya lalu gegas meninggalkan bilik projektor, menuruni anak tangga, masuk ke koridor panggung dan keluar ke lobi. Orang ramai panik, berpapasan keluar dari panggung, ke lobi menuju ke ruang legar Sunway Pyramid. Dia menghampiri brader Gun. Feisal Ghani bin Salleh. Usia lewat 20-an, CRO (customer relationship officer) yang paling senior di panggung itu. Brader Gun berdiri di depan televisyen LCD bersaiz 80 inci yang sedang ulang tayang trailer filem yang sedang dan bakal ditayangkan, cuba mengawal orang ramai yang cemas berdedai meninggalkan perkarangan lobi panggung. Dengan nafasnya yang masih tercungap seperti ikan dalam akuarium yang tak makan tujuh hari, dia menghampiri brader Gun terpinga. Brader Gun pandang Joni tanpa punya patah kata, apa lagi gagasan idea. Sedang dalam kecoh, dari bilik pengurus panggung yang terletak di sebelah kaunter konsesi candy bar panggung, Vincent Chia, lelaki Cina berusia awal 30-an, pengurus panggung tersebut, dengan kemeja lengan panjang warna birunya yang kebasahan di celah ketiaknya, gegas berlari menghampiri Joni dan brader Gun.

Pekerja di kaunter konsesi candy bar masing-masing tertanya-tanya hal yang sedang berlaku sambil melihat keadaan hura-hara di tengah lobi panggung. Alis mata Joni tertumpu pada seorang anak kecil berbangsa Cina yang masih memegang kotak bertih jagung, mulai menangis gegas dipimpin tangan ibunya berjalan keluar dari panggung ke lobi. Vincent gelugut dan matanya meliar seperti tercari-cari sesuatu di lobi itu. Dia cuba menjelaskan sesuatu tapi suaranya samar di bunuh riuh manusia di lobi. Wajahnya benar cemas. Rambut fesyen hipsternya diusap deras, mulai serabai. Joni dan brader Gun hanya tercegat, dalam riuh manusia yang semakin kuat bergema di lobi dan deringan loceng penggera kecemasan Sunway Pyramid yang masih membingit, membunuh kelantangan suara Vincent.

“Apa dia Vincent?” Soal brader Gun cuba mengandal kata Vincent.
“Sinema kita kena rompak! Duit sales panggung hilang kena rompak!” tempik Vincent cemas. Wajahnya merah seperti menunggu masa untuk meletup. Langkah dan tubuhnya tak menentu.

Joni terdiam mendengar penjelasan Vincent. Bingar melihat Vincent kelam-kabut capai telefon bimbit Samsung Galaxy S4 dari saku seluar slack hitamnya, dan menelefon seseorang. Vincent gegas berlari masuk ke kaunter tiket box (kaunter jualan tiket di lobi panggung).

“Yang kau bawa torch light terang-terang ni nak suluh apa Joni?” Joni angkat lampu suluh dan menghalakan lampu suluh itu ke muka brader Gun.
“Nak suluh orang yang hidup dalam kegelapan macam kau ni,” Joni jawap tenang dengan sedikit senyuman sinis. Matanya kemudian tertancap pada susuk gadis berbaju tee putih, berseluar jeans biru gelap hampir lusuh dan kasut Converse rona putih, di hujung koridor panggung, sedang berjalan keluar ke lobi panggung. Rambut ikalnya panjang hingga ke pangkal bahu, bertubuh langsing memikul sebuah bagasi yang agak besar rona hijau, (beg askar mungkin). Wajahnya tenang tapi seperti ada sesuatu yang tergantung di fikirnya. Gadis itu berpapasan dalam lautan manusia yang sedang berjalan keluar dari panggung. Dari pandangan mata Joni, segala pergerakan di sekitar ruang dan masa ketika itu juga mulai bergerak laju. Gadis itu tersenyum pada Joni menyedari bahawa dirinya diperhatikan. Dan gadis itu menghampiri Joni, berjalan melewatinya sambil melemparkan senyuman paling manis. Joni hanya menjeling ke arahnya, agar tidak nampak begitu ketara yang dia sedang memerhatikan wajah gadis tersebut. Gadis itu tiba di depan pintu masuk utama lobi, dia pantas menoleh ke arah Joni lalu tersenyum sekali lagi, kali ini dengan senyuman paling romantis seperti filem klasik shot close-up wajah watak heroin berseri menderam bercahaya. Ruang bergulir mati ketika waktu seakan bergerak perlahan. Seperti Jean Luc Godard yang mengambarkan Anna Karina dalam filem “A Woman Is A Woman”. Perlahan gadis itu dalam samar beredar meninggalkan panggung di celah sesak dedai manusia di ruang legar depan panggung yang sedang menunggu giliran dalam kelompok manusia yang masih cemas untuk menuruni escalator.

Prolog - Joni Et Cinema





7 DESEMBER 2015, 10:25 AM

Tiada yang lebih romantik dari memulakan sebuah cerita di bahu kaki lima 15th Rue Lepic, kota Paris. 

Sementara menyusur sisa pagi, ditemani secawan espresso dan sepotong roti, di bawah kanopi di perkarangan kafe Des Deux Moulins, dia melekat duduk di sebelah tingkap, mengamati manusia yang berdedai di sepanjang pasar jalanan di depan kafe. Matanya tertumpu pada seorang gadis di bahu jalan. Gadis muda itu mirip Jean Seberg dari filem 'Breathless' yang sedang memekik menjual surat khabar ‘New York Herald Tribune’ dan hal itu mengingatkan dia pada filem 'Pick Pocket' arahan Robert Bresson yang diadaptasi dari novel “The Prince Of Pick Pockets” cerita oleh Georges Barrington tulisan Richard S. Lambert. Buku yang berada di atas mejanya ketika itu, sedang diulang baca buat kali ke-lima.

Bonjour Joni,” sapa seorang gadis Perancis.


Gadis itu menyeka rambut ikalnya ke bahu kiri, menarik kerusi dan duduk di depan Joni. 

Vous Etes Seul?” tanya gadis itu lagi pada Joni.

“Yup,” Joni jawap ringkas sambil meletakkan kembali pemetik api di atas buku novel di atas meja dan menghirup espressonya tenang usai bertukar senyuman melihat ke arah gadis Perancis itu yang berbaju tee sendat tertulis perkataan ‘Rat Du’Cinemathique’.

“I’m staying at the end of this road. I saw you sitting here, so I came and say hello. You’re the kind of person who don't talk much do you?” ujar gadis itu lagi.“You do look homesick since the first time I saw you in class,” Pelayan kafe menghampiri dan dia pesan secawan kopi Latte. Anak matanya bergulir melihat ke arah Joni, berpakaian baju tee putih dan berseluar jeans lusuh, dipadankan dengan jaket hitam, berambut panjang ke pangkal bahu menutupi telinganya, duduk diam seperti ada sesuatu yang sedang diatur dalam benak fikirnya. 


If you don't mind, can you tell me again what brought you here?” gadis itu kelihatan benar-benar intrig. 

Benar, Joni lelaki yang agak mistirius.

Why are you so interested in me?” tanya Joni lagi sambil petik habuk rokoknya di ashtray. Dia sandar tubuhnya pada kerusi dan menarik nafas panjang. 

Maybe you look like someone who have a story to tell?” Gadis Perancis itu tanya lagi kali ini dengan senyuman memikat.

Pelayan kafe tiba dan meletakkan minuman kopi latte di atas meja di depan gadis itu.


I really don’t have any story to tell,” ujar Joni tersenyum.

Gadis Perancis itu menghirup minuman kopi lattenya. “But I do believe we all have stories to tell,

If I do have one, its going to be a very long story though,” gurau Joni lagi sambil hisap hembus lagi asap rokok. Kali ini lebih deras. 

I have time,” jawap gadis Perancis itu dengan lirik mata seperti memujuk. 

Joni cuba mengatur kata menyedari berat hatinya untuk menimbang semula sejarah lesu di lubuk ingatan. Benar Joni jenis pelupa orangnya sehinggakan ketika dia baca sebuah buku pun, dia lupa apa yang telah dibacanya tiga muka surat sebelumnya. Atau mungkin dia harus makan ubat Genko untuk kuatkan daya ingatannya. 

You ever heard the story about James Holmes, who believe that he is ‘The Joker’?” tanya Joni pada gadis Perancis itu, memulakan ceritanya....