28 November 2014, 8:55 pm
“Fear can hold you prisoner, hope can set you free,” entah kenapa kata Red dari filem Shawshank Redemption berlegar dalam fikirannya ketika itu. Di ambang kematian seluloid filem 35mm, dan era filem digital mula meresap masuk ke dalam dunia sinema, sepasang tangan meraba dalam gelap, di muka dinding dan perlahan turun ke dasar lantai. Debu hitam menebal di telapak tangannya yang berpeluh. Dalam gelap, nafasnya berdegub kencang. Paranoia sensasi phasmophobia berada dalam ruang gelap buat tubuhnya menggelugut. Benar dia sudah mangli berada dalam ruang gelap. Tapi gelap yang kali ini berbeza.
Sedang lagu Les Poetes nyanyian Jean Ferrat sayup seperti memanggil-manggilnya dari ruang berbalam. Dia merangkak perlahan, melewati deret mesin projektor filem 35mm Cinemacanica yang berhablur hitam, seperti sudah ditinggalkan, menunggu masa untuk dihantar ke muzium sejarah sinema atau mungkin kedai besi buruk untuk dikitar semula dan dijadikan mesin dalam bentuk yang lain, yang baru dan lebih berguna, berfungsi untuk sepuluh dekad akan datang.
Perlahan dalam gelap dia meranduk plastik pemisah yang tergantung di muka pintu, di tengah ruang tersebut, menuju ke arah suara nyanyi Jean Ferrat, sehingga dia terpelosok di bawah sebuah meja. Telapak tangannya yang berdebu hitam meraba meja tersebut sambil dia bangun dan meraba di atas permukaan meja mencari tetikus komputer riba lalu menggerakkan sensor tetikus. Cahaya dari layar komputer riba bernyala, menerangi ruang bilik yang masih gelap berbalam. Dia capai laci paling bawah. Di buka laci mencari sesuatu. Pantas dia capai lampu suluh dan cuba nyalakan lampu suluh tersebut. Tidak bernyala. Dihentak beberapa kali lampu suluh tersebut. Namun masih tidak bernyala. Dia mengeluh lalu menyerah dan mencampakkan lampu suluh ke muka dinding, di belakang sebuah mesin projektor filem digital yang tidak bernyawa. Sedang lagu Les Poetes nyanyian Jean Ferrat masih lagi menemaninya dalam gelap.
Lampu bilik kembali terpasang. Terang. Mesin digital cinema projector di dalam bilik projektor filem tersebut kembali terpasang dengan sendiri dan memainkan semula filem secara automatik. Gambar wayang kembali menatal di layar lebar di dalam panggung. Kipas pendingin di atas setiap mesin digital projektor bersama runut bunyi filem dari rak audio kembali mengisi ruang bilik projektor.
Lampu suluh yang dicampak di muka lantai tadi bernyala. Dia capai kembali lampu suluh itu. Dia cuba matikan pula lampu suluh tersebut. Tapi tak terpadam. Diketuk lagi beberapa kali. Masih tak terpadam. Tanpa hati, dia bawa sahaja lampu suluh tersebut bersamanya dan periksa setiap panggung, memastikan setiap digital cinema projector filem menayangkan semula filem dalam keadaan baik. Cahaya dari mesin digital cinema projector yang menayangkan filem terbias dari kaca lubang pothole (lubang kaca di dinding depan mesin projektor yang memancarkan gambar ke muka layar lebar di dalam panggung) di depan mesin tersebut, mencapah ke muka lantai memperlihatkan gerak manusia menari dan menyanyi, kejar dan dikejar, bercinta dan membenci di muka lantai berdebu, dari setiap lubang pothole panggung. Dia melewati bias cahaya di muka lantai berjalan dari panggung tujuh, melewati deretan mesin projektor filem 35mm Cinemacanica yang disusun di tepi dinding, tidak lagi digunakan. Dia masuk ke bilik digital cinema projector IMAX, lalu pantas menuju ke mesin projektor filem Cinemacanica yang satu itu, yang masih menayangkan filem menggunakan seluloid filem 35mm di panggung satu yang terletak berhampiran muka pintu masuk bilik projektor panggung tersebut. Dia julur kepalanya melihat ke dalam panggung dari lubang pothole panggung satu. Menjengul melihat penonton di dalam panggung kembali tenang tonton ke layar lebar menonton filem Malaysia “Hanyut”.
Sebaik rangkap terakhir lagu Les Poetes nyanyian Jean Ferrat selesai, loceng penggera kecemasan berbunyi sayup datang dari tingkat bawah.
“Apa lagi hal ni?” bentaknya lalu gegas meninggalkan bilik projektor, menuruni anak tangga, masuk ke koridor panggung dan keluar ke lobi. Orang ramai panik, berpapasan keluar dari panggung, ke lobi menuju ke ruang legar Sunway Pyramid. Dia menghampiri brader Gun. Feisal Ghani bin Salleh. Usia lewat 20-an, CRO (customer relationship officer) yang paling senior di panggung itu. Brader Gun berdiri di depan televisyen LCD bersaiz 80 inci yang sedang ulang tayang trailer filem yang sedang dan bakal ditayangkan, cuba mengawal orang ramai yang cemas berdedai meninggalkan perkarangan lobi panggung. Dengan nafasnya yang masih tercungap seperti ikan dalam akuarium yang tak makan tujuh hari, dia menghampiri brader Gun terpinga. Brader Gun pandang Joni tanpa punya patah kata, apa lagi gagasan idea. Sedang dalam kecoh, dari bilik pengurus panggung yang terletak di sebelah kaunter konsesi candy bar panggung, Vincent Chia, lelaki Cina berusia awal 30-an, pengurus panggung tersebut, dengan kemeja lengan panjang warna birunya yang kebasahan di celah ketiaknya, gegas berlari menghampiri Joni dan brader Gun.
Pekerja di kaunter konsesi candy bar masing-masing tertanya-tanya hal yang sedang berlaku sambil melihat keadaan hura-hara di tengah lobi panggung. Alis mata Joni tertumpu pada seorang anak kecil berbangsa Cina yang masih memegang kotak bertih jagung, mulai menangis gegas dipimpin tangan ibunya berjalan keluar dari panggung ke lobi. Vincent gelugut dan matanya meliar seperti tercari-cari sesuatu di lobi itu. Dia cuba menjelaskan sesuatu tapi suaranya samar di bunuh riuh manusia di lobi. Wajahnya benar cemas. Rambut fesyen hipsternya diusap deras, mulai serabai. Joni dan brader Gun hanya tercegat, dalam riuh manusia yang semakin kuat bergema di lobi dan deringan loceng penggera kecemasan Sunway Pyramid yang masih membingit, membunuh kelantangan suara Vincent.
“Apa dia Vincent?” Soal brader Gun cuba mengandal kata Vincent.
“Sinema kita kena rompak! Duit sales panggung hilang kena rompak!” tempik Vincent cemas. Wajahnya merah seperti menunggu masa untuk meletup. Langkah dan tubuhnya tak menentu.
Joni terdiam mendengar penjelasan Vincent. Bingar melihat Vincent kelam-kabut capai telefon bimbit Samsung Galaxy S4 dari saku seluar slack hitamnya, dan menelefon seseorang. Vincent gegas berlari masuk ke kaunter tiket box (kaunter jualan tiket di lobi panggung).
“Yang kau bawa torch light terang-terang ni nak suluh apa Joni?” Joni angkat lampu suluh dan menghalakan lampu suluh itu ke muka brader Gun.
“Nak suluh orang yang hidup dalam kegelapan macam kau ni,” Joni jawap tenang dengan sedikit senyuman sinis. Matanya kemudian tertancap pada susuk gadis berbaju tee putih, berseluar jeans biru gelap hampir lusuh dan kasut Converse rona putih, di hujung koridor panggung, sedang berjalan keluar ke lobi panggung. Rambut ikalnya panjang hingga ke pangkal bahu, bertubuh langsing memikul sebuah bagasi yang agak besar rona hijau, (beg askar mungkin). Wajahnya tenang tapi seperti ada sesuatu yang tergantung di fikirnya. Gadis itu berpapasan dalam lautan manusia yang sedang berjalan keluar dari panggung. Dari pandangan mata Joni, segala pergerakan di sekitar ruang dan masa ketika itu juga mulai bergerak laju. Gadis itu tersenyum pada Joni menyedari bahawa dirinya diperhatikan. Dan gadis itu menghampiri Joni, berjalan melewatinya sambil melemparkan senyuman paling manis. Joni hanya menjeling ke arahnya, agar tidak nampak begitu ketara yang dia sedang memerhatikan wajah gadis tersebut. Gadis itu tiba di depan pintu masuk utama lobi, dia pantas menoleh ke arah Joni lalu tersenyum sekali lagi, kali ini dengan senyuman paling romantis seperti filem klasik shot close-up wajah watak heroin berseri menderam bercahaya. Ruang bergulir mati ketika waktu seakan bergerak perlahan. Seperti Jean Luc Godard yang mengambarkan Anna Karina dalam filem “A Woman Is A Woman”. Perlahan gadis itu dalam samar beredar meninggalkan panggung di celah sesak dedai manusia di ruang legar depan panggung yang sedang menunggu giliran dalam kelompok manusia yang masih cemas untuk menuruni escalator.
No comments:
Post a Comment