Sementara saat waktu berhenti dari tadi mulai berdetik kembali, ketika deru kenderaan tak putus-putus datang dari lebuhraya ditemani dingin malam yang meniup derai langsir rona ungu di muka jendela. Mata lesunya perlahan dibuka. Jemari kebah mula berdansa di hujung katil dan perlahan mengusap ubun membingit seperti ada yang memekik. Menyedari dia di atas katil yang terbentang luas, sendirian. Tubuhnya rimas terasa berjelekit. Seluar boxer hitam dan baju tee putih kuyup kebasahan. Cadar putih gebu diselimuti darah rona likat masih pekat. Udara pekung tiap rinci ruang. Perlahan suara pembaca berita mengisi kembali benak dari lohong peti televisyen yang masih bernyawa. Keliru, telapak tangannya menyeka wajah lesu. Wajah melekit kebasahan. Dalam lesu dia bangkit dari katil, menyedari dia di dalam sebuah bilik hotel murahan. Ruang bilik kelam, bersepah seperti baru sahaja usai pesta. Hanya bias cahaya dari kotak televisyen yang menerangi ruang berbalam. Bekas kotak pizza dan tin minuman bersepah di muka lantai. Sebuah bagasi rona hitam yang terkuak luas di muka lantai di tengah timbunan tin minuman. Di dalam beg tersebut, sebuah topeng anjing dan kepingan wang yang berselerak. Dihala langkah ke cermin sebuah meja tulis. Melihat wajahnya terpalit darah likat, berkapur putih dengan rambut hijau gelap, kerinting mengerutu tebal. Tubuhnya mulai mengelugut. Gigil. Dingin angin mendesir langsir jendela menusuk resahnya.
Bingungnya kemudian direntap bunyi deruan flush. Di susuli paip air dibuka. Kemudian ditutup. Seketika seorang lelaki Melayu segak bersut hitam keluar dari muka pintu tandas menghampiri dan berdiri di sebelahnya, mengemaskan sut, merapi rambut kemasnya sambil tersenyum. Dicapai botol mineral cap tanah air di atas meja menghampiri sofa di pinggir ruang. Dicampakkan kain cadar putih yang diliputi tompok likat rona merah di atas sofa ke atas muka katil, pantas duduk. Dibukanya penutup botol mineral.
“Kau siapa?”
“Soalan yang sebetulnya kau tanya, siapa kau sebenarnya?” jawap lelaki bersut hitam dengan nada tenang sambil mereguk air.
Dia terdiam.
“Relax. Duduk,” ujar lelaki bersut hitam tenang sambil menutup botol mineral dan meletakkannya di atas lantai di sebelah kanan sofa.
Dia yang masih tercatuk di muka cermin perlahan menghampiri tingkap bilik yang terkuak luas. Fikirnya jauh menghilang dari tubuh, menyedari bilik itu terletak di pinggir kota kerana dari jendela itu, cahaya Kuala Lumpur tampak luas terbentang dalam gelap malam.
“Kau boleh cerita macam mana kau ada kat sini?” soal lelaki bersut hitam.
Dia hanya mendiamkan diri.
“Kau kenal siapa perempuan ni?” soal lelaki bersut hitam sambil memberikannya sekeping foto.
Tangan gigilnya menyambut foto dan menatap gambar tersebut. Perlahan dia hanya menggelengkan kepala.
“Perempuan ni hilang dua hari lepas. Kali terakhir dia dilihat ada dengan kau,”
Dia pantas menghampiri katil yang berselerak dan duduk di tengah katil tersebut. “Aku tak tahu siapa dia. Aku tak tahu macam mana aku ada dalam bilik ni,” nadanya menggumam.
“Darah ni darah dia. Kat tangan kau tu, darah dia. Kau bunuh dia! Bagitahu mana kau campak mayat dia,” ujar lelaki bersut hitam itu lagi.
…
No comments:
Post a Comment