Sebuah kereta radio peronda polis tiba di perkarangan balai Polis Bandar Sunway. Pintu kereta radio peronda dibuka dan Joni dengan tangannya bergari, ditemani seorang pegawai polis berpangkat lans koperal dibawa keluar dari perut kereta dan melangkah masuk ke dalam balai. Dengan langkah lenggeng dia dibawa masuk ke dalam sebuah bilik di belakang balai, diarah untuk buka baju dan seluarnya selepas gari ditangannya dibuka. Baju seragam TGV Cinemas dan seluar jeans lusuhnya dibuka ikut arahan. Baju, seluar, dompet dan jam tangannya dicampakan ke dalam sebuah kotak kosong jenama susu Dutchlady yang diletakkan di atas meja. Seorang pegawai polis menghampiri kotak tersebut dan mencapai dompet Joni, dilihat di dalam dompet tersebut menyedari di dalam dompet itu tiada langsung wang.
Joni dari awal sudah diberitahu oleh seorang pegawai polis bahwa dia harus hanya bawa kad pengenalan sahaja dan diminta untuk tidak membawa langsung duit ke balai, ketika dia ditahan di panggung lewat malam tadi. Jadi semua wangnya diletakkan di dalam laci meja komputer di bilik projektor. Kotak yang berisi pakaian dan barang peribadi Joni dibawa keluar dari bilik sementara seorang lagi pegawai polis menghampiri Joni. Dia diarahkan untuk duduk di atas sofa di depan meja. Pegawai polis berpangkat lans koperal tadi menghampiri Joni, duduk dan meminta Joni untuk beri keterangan.
Usai laporan diambil, Joni diminta untuk menurunkan cap jarinya pada borang. Kesemua sepuluh jari Joni dicap pada borang tersebut. Joni yang hanya berseluar boxer di bawa keluar dari bilik tersebut menghampiri lokap yang terletak di belakang balai. Joni masuk ke dalam lokap, duduk di satu sudut di atas muka lantai konkrit yang mulai membeku telapak kakinya. Suasana sepi. Hanya suara peti televisyen yang datang dari depan balai mengisi ruang dingin lokap tersebut. Sesekali terdengar suara datang dari lohong radio komunikasi yang berada di dalam bilik di depan lokap, bilik di mana Joni diminta untuk beri keterangan tadi. Di dalam lokap tersebut, dua lagi lelaki duduk di depan Joni. Seorang darinya lelaki Melayu berbadan sado, duduk betul-betul di depan Joni, kemudian mengesut tubuhnya yang berlengas menghampiri Joni. Di wajahnya ada kesan lecur di pipi sebelah kiri yang masih lagi merah.
“Kau masuk sini apahal?”
“Suspek rompak bang,” jawap Joni tenang.
“Kau rompak bank?”
Joni menggeleng.
“Kedai emas?” entah kenapa lelaki itu seperti teruja.
“Sinema,” jawap Joni tenang.
“Sinema? Panggung wayang? Tak pernah dibuat orang rompak panggung wayang.” Sinis lelaki itu dengan tawa kecil.
“Abang?” tanya Joni pula memecah tawa lelaki itu.
“Curi cable elektrik.” Jawap lelaki itu sambil menunjukkan parut lecur di kulit mukanya yang masih merah. “Masa aku nak curi cable, badan aku tersangkut kat tiang, kena renjatan elektrik. Masa aku menggelupur kena elektrik, orang yang nampak aku masa tu, bukan nak telefon ambulan. Dorang telefon polis dulu. Celaka.”
Joni cuba tahan gelak. “Bila jadi ni?” tanya Joni.
“Malam tadi,” jawap lelaki tersebut.
“Yang sorang lagi tu kenapa bang?” tanya Joni ke arah seorang lagi lelaki muda. Remaja mungkin. Bangsa India. Wajahnya meruyup hanya tunduk ke muka lantai.
“Entah, katanya tadi sebab simpan senjata api.” Jelas lelaki itu.
Joni diam memandang jauh ke arah lelaki India itu yang sedang duduk bersila di hujung lokap. Entah kenapa Joni tidak langsung hairan mengetahui lelaki semuda dia mampu untuk punya senjata api. Bukan susah mana pun untuk memiliki senjata api di Malaysia waktu ini.
Pintu lokap dibuka. Nama Joni dipanggil. Perlahan Joni bangun menghampiri pegawai polis di muka pintu lokap, melangkah keluar dan kemudian dia dibawa masuk ke bilik di belakang balai. Di dalam bilik, Joni duduk di atas sofa buruk yang berbau hapak. Hamisnya seperti bau kencing kucing. Seorang pemuda masuk ke dalam bilik tersebut sambil membawa secawan minuman Starbucks.
Entah kenapa kalau pegawai penyiasat mesti kena pegang cawan kopi. Pemuda itu duduk di atas kerusi lipat depan sofa tempat Joni duduk.
“Nama kau Johan?” tanya pemuda berbaju t-shirt kolar dan seluar jeans.
Joni angguk kepalanya yang mulai kantuk.
“Saya Inspektor Rino Irwan. Dah lama kau kerja dekat panggung?” tanya Inspektor Rino sambil mereguk minumannya.
“Dekat tujuh tahun,” jelas Joni.
Pintu bilik diketuk. Seorang pegawai polis masuk ke dalam bilik dan menyerahkan sekeping fail pada Inspektor Rino, “Tuan, ni laporan awal kes rompakan panggung tu,” jelas pegawai polis tersebut.
Inspektor Rino Irwan mula meneliti laporan tersebut. Wajah Joni mulai nampak resah walaupun dia percaya yang dia langsung tidak terlibat dengan kes rompakan panggung yang berlaku awal malam tadi. “Kau tahukan kau suspek utama kes ni? Pihak polis akan tahan reman kau selama tujuh hari. Mr. Micheal ni siapa?” tanya Inspektor Rino Irwan.
“Dia GM TGV Cinema. Dia yang mula ambil saya kerja dekat panggung tu.” Jelas Joni sedikit meredap, menyedari dia akan dihambat ke dalam lokap selama tujuh hari.
“Ikut apa yang dia lapor kat sini, Mr. Micheal ni cakap kau pernah rancang nak rompak sinema tu?” tanya Inspektor Rino lagi.
Joni hanya diam.
“Betul saya pernah cakap nak rompak sinema tu. Tapi bukan saya yang rompak tuan. Saya main-main je masa saya cakap tu.” Jelas Joni.
“Idham Chan. Kau kenal Idham?” tanya Inspektor Rino lagi.
“Dia manager panggung. Housemate saya.”
“Mana dia sekarang?”
“Saya tak tahu tuan. Saya tak tahu mana dia sekarang.” jelas Joni cuba menyakinkan Inspektor Rino.
“Okay. Kau cerita dekat aku dari mula. Apa yang sebenarnya jadi kat panggung tu, dari mula kau kata kau rancang nak rompak sinema tu, sampai malam tadi, bila panggung tu kena rompak” kata Inspektor Rino lalu campak fail yang dipegangnya ke atas meja. Dia reguk minumannya lalu sandar tubuhnya pada kerusi lipat.
…
No comments:
Post a Comment