“Joni! Bangun!” tempik suara dengan nada yang membingit.
Punggung Joni dijamah telapak kasut Dr. Martens Red Cherry high cut saiz 10 dipakai Idham yang berkali-kali cuba mengejutkannya yang dari tengahari tadi lena tidur mengiring menghadap ke penjuru muka dinding, berdengkur di atas karpet pengesat kaki pintu tandas yang disusun seperti tilam di sebelah mesin projektor filem Cinemachanica panggung Beanieplex di bilik projektor itu. Perlahan Joni memusing tubuhnya menghadap Idham, dengan walkie-talkie yang masih terikat dengan getah rambut di kepalanya. Lohong walkie talkie melekat di cuping telinga. (Walkie talkie yang diikat di kepala dengan lohong walkie talkie itu di cuping telinganya kerana dia dapat mendengar kalau ada orang yang memanggilnya menerusi walkie-talkie tersebut ketika dia sedang tidur.)
“Apa hal ni?” Joni termonyeh dengan nada lesu membuka benak matanya. Dia usap pipinya dek gusi gerahamnya yang masih berdenyut, bengkak di hujung anak gigi geraham masih terasa.
“Orang panggil kau kat walkie tak jawap?” Tanya Idham sambil mengintai ke dalam panggung melalui lubang pothole di depan mesin projektor filem Cinemacanica.
Di layar lebar, filem The Last Song sedang menatal. Penonton ralit tonton sambil baring di atas beanie bag ditemani bertih jagung dan minuman soda, sambil tangan mereka merayap entah kemana dalam gelap.
Joni capai walkie-talkie yang diikat di kepalanya. Di belek walkie talkie tersebut dan menyedari bateri walkie-talkie sudah mati.
“Pukul berapa sekarang?”
“Pukul 4:00. Bukan main senang kau buat duit.” Ujar Idham sambil duduk di sebelah Joni dan menyalakan sebatang rokok. “Kau pernah dengar tak cerita pasal James Holmes, yang percaya dia ‘The Joker’ yang Health Ledger berlakon, sebelum dia baling gas pemedih mata kat dalam panggung yang penuh dengan penonton dan lepas tu tembak dan bunuh 12 orang dan cederakan 50 orang lain. Cerita ni jadi dekat bandar Aurora, Colorado dekat panggung wayang yang masa tu, tengah tayang filem 'The Dark Knight Rises'. Orang kata dia warnakan rambut dia dengan warna merah, beli tiket dan masuk dalam panggung sebelum dia tembak semua orang dalam panggung tu. Gila kan?”
“Apa hal tiba-tiba kau kejut aku cerita pasal benda ni?”
“Tak ada lah. Aku sampai sekarang tak dapat bayangkan apa yang ada dalam kepala otak dia masa tu. Masa dia masuk panggung, tembak semua orang dalam panggung tu. Kau bayangkan, kau dalam panggung leka tonton filem. Tak pernah terlintas langsung dalam kepala otak kau yang ada orang gila macam dia, akan datang dalam gelap panggung tembang kau. Mampus! Macam dalam filem Quentin Tarantino - Inglorious Basterds.”
“Kau ingat Tarantino yang mula buat cerita kepung penonton dalam panggung, lepas tu bunuh semua orang dalam panggung tu. Kalau kau nak tahu dekat negara kita pun ada cerita macam tu yang betul-betul pernah terjadi. Dulu aku pernah dengar cerita ada sorang pegawai polis ni dia tinggal kat Kuala Lumpur. Malam 13 Mei 1969, dia pergi tengok filem dekat panggung Odean, Jalan Tuanku Andul Rahman. Pemuda-pemuda Cina dari kongsi gelap, kepung panggung Odeon. Masa tayangan malam tu, ada beberapa iklan dalam bahasa Cina dekat skrin panggung suruh penonton bangsa Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu pula duduk di dalam panggung tak tahu apa-apa. Pemuda-pemuda Cina dari kongsi gelap ni serbu dalam panggung, tetak dan bunuh ramai penonton Melayu dalam panggung dengan parang. Lepas tu dorang tutup pintu panggung dan bakar panggung tu.” cerita Joni pada Idham.
Idham hisap hembus asap rokok deras lalu dimatikan rokoknya itu di dalam ashtray yang berada di atas meja komputer, di sebelah mesin projektor digital cinema IMAX. “Dah lah. Jom, Micheal panggil kau dengan Farhan meeting kat sinema satu. Sekarang.” Ujar Idham.
“Micheal panggil meeting? Apahal? Pa’an mana?” Soal Joni sambil perlahan bangun dan duduk tersandar pada dinding, mengusap rambut kusutnya yang menggerutu.
“Pa’an baru sampai tadi. Dia dah ada kat dalam sinema satu. Micheal dengan Razuan pun ada kat sana dah.” Ujar Idham lagi.
“Apa hal tiba-tiba Micheal panggil meeting ni?” sinis Joni lagi sambil menguap panjang, mungkin kantuk mendengar cerita gila Idham.
“Entah. Nanti kau tahu lah. Jom,” bingkas Idham berjalan meninggalkan Joni yang masih cuba menghadam bingungnya.
Joni pantas bangun lalu membontot Idham ke muka pintu keluar bilik projektor sambil kemas baju uniformnya yang berwarna biru gelap dan berkolar merah, punya lambang TGV Cinemas di poket dada kirinya. Bajunya disisip masuk ke dalam seluar jeans Levis 501 lusuh. Dia usap rambutnya yang serabai. Matanya sempat melihat ke arah semua mesin projektor filem Cinemacanica yang sedang berputar memainkan wayang gambar dengan baik. Mereka menuruni anak tangga dan keluar dari pintu keluar panggung masuk ke koridor panggung lalu berjalan masuk ke dalam sinema satu.
Dari atas panggung, Micheal dan Razuan sedang berbual di bawah panggung di depan layar lebar. Idham dan Joni menuruni anak tangga menghampiri mereka. Farhan, lelaki Melayu berusia lewat 20-an, memakai jaket rona biru dengan lencana butang Batman di sebelah poket kiri dada jeket itu, sedang duduk di kerusi panggung sambil sibuk melihat akaun Instagram pada telefon Iphone 4Snya. Mungkin sedang melihat berapa like yang dia dapat untuk gambar nasi kandar ‘ganja’ yang dia post ketika dia makan di restoren mamak Jalan Ara Kiri 3, Bangsar tengahari tadi. Di ribanya sebuah komik Superman. Joni dan Idham menghampiri Micheal dan dia duduk di sebelah Farhan.
“Okay. Can we start now?” ujar Micheal Chia, lelaki Cina berbadan gempal dan perut membuncit sedikit, merupakan Pengurus Besar TGV Cinemas.
Joni, Farhan dan Idham hanya mengangguk, keliru mengapa tiba-tiba pengurus besar TGV Cinemas datang untuk mesyuarat di dalam panggung yang hanya melibatkan tiga orang pekerja panggung tersebut. Aneh. Dengan wajah polos Micheal mulakan mesyuarat itu.
“As you know, TGV Cinemas is going to upgrade our cinema projector system from 35mm filem projector to Digital Cinema Projector System. Which mean, when the Digital Cinema Projector System starts to operate, there will be no more movies to be screen using the old 35mm film and Cinemachanica film projector. The cinema will no longer need your services as film projectionist,” jelas Micheal tenang.
Joni dan Farhan pandang ke arah masing-masing terdiam mendengar penjelasan Micheal.
“Tomorrow our technician contractor from Uegene Tech will come and start install the new Digital Cinema Projector for this hall. Cinema one. Razuan here, will assist Uegene Tech and they will teach you guys how to operate the Digital Cinema Projector. By next week, all cinema halls in TGV Sunway will be installed with Digital Cinema Projector. And by next week, the company will do a test for all current TGV Cinema film projectionist all location, here at Sunway Pyramid. The company will decide by the highest score from the test, who will we keep to work at CMS, content management system department at HQ or the company will pay VSS which is a voluntarily separation scheme to end their services for the company. Okay?” soal Micheal pada Joni dan Farhan. “Idham, as location manager, will assist Razuan on installing all the digital cinema projector,” sambung Micheal lagi.
Idham angguk. Diam hanya menurut. Seperti berat benak akalnya untuk mengatur kata.
“If everyone clear on this issue, I will leave you with Razuan and Idham. If you have any question, Razuan will explain it to you futher.” Ujar Micheal.
Joni dan Farhan masih terdiam. Joni hanya lihat Micheal meninggalkan mereka, berjalan di atas karpet merah menaiki anak tangga dan meninggalkan panggung. Razuan usap dahinya yang mulai membintik peluh, menghampiri Joni dan Farhan, menyedari dia harus membela hati teman-temannya dan menjelaskan hal yang paling sukar mereka terima.
“Maksudnya apa ni Wan?” soal Farhan pada Razuan yang merupakan ketua bahagian teknikal TGV Cinema satu Malaysia. Razuan juga bekas projectionist filem di panggung itu, sebelum dia dinaikan pangkat menjadi ketua teknikal sinema mengantikan Vincent, lelaki India berusia lewat 40-an, yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung tidak lama dulu.
“Maksudnya TGV dah tak nak pakai projektor filem. Dah tak ada lagi 35mm filem. Lepas ni semua movie kita tayang pakai sistem Digital Cinema Projector. Bila TGV dah pakai sistem digital sinema, TGV dah tak perlu lagi film projectionist sebab dah tak ada lagi kerja untuk film projectionist. Sebab semua digital projektor dah ada auto system.” Jelas Razuan cuba membela ralat di hati mereka, menyedari Joni dan Farhan bakal dibuang kerja.
“Habis CMS tu apa Wan?” Tanya Joni pula sambil memanjangkan kakinya yang mulai kebas di bawah kerusi panggung.
“CMS tu , content management system department kat HQ. Staff department ni yang akan jaga sistem digital filem yang akan sampai dari film distributor dan lepas tu akan hantar digital filem ni kat semua location TGV Cinema. Tapi tak semua film projectionist yang akan diserap masuk ke department CMS ni kat HQ. Sebab semua 23 location TGV Cinema satu Malaysia ada 92 film projectionist. Cuma 10 je yang akan diserap masuk ke CMS.”
“Yang lain macam mana?” Tanya Joni lagi dengan nada sedikit membentak.
“Macam Micheal cakap tadi, yang lain company akan bayar pampasan untuk berhenti kerja. Kita panggil proses ni VSS.”
“Test yang Micheal cakap tadi?” soal Farhan pantas mencelah penjelasan Razuan sambil membetulkan kedudukan punggungnya yang mulai panas.
“Minggu depan, lepas korang dah belajar macam mana nak operate sistem Digital Cinema Projector ni. Kita akan buat test. Siapa yang faham dan mahir dalam digital sistem ni lah yang company akan serap masuk dalam CMS.” Jelas Razuan.
Joni dan Farhan masing-masing menarik nafas panjang. Mengeluh. Cuba membela ralat di hati mereka. Razuan berjalan menghampiri Idham yang dari tadi duduk di belakang Joni dan Farhan, hanya mendiamkan, menyedari rakan-rakannya akan diberhentikan kerja.
“Kenapa baru sekarang company nak bagitahu kita?” soal Joni dengan nada lebih rendah. Menyirap.
“Sorry Joni, Pa’an. Sebenarnya aku dah dapat email dari HQ pasal isu ni dua bulan lepas. Tapi aku tak sampai hati nak bagitahu korang. Aku tak sanggup nak bagitahu. Aku diam, harap korang dengar berita ni dari Micheal sendiri. Biar dia yang explain kat korang.” Jelas Idham cuba memujuk.
“Chill. Korang ambil dulu test tu. Insya Allah aku cuba tolong mana yang boleh nanti.” Ujar Razuan membela hati mereka.
Dingin penghawa dalam sinema satu itu mulai membeku hati yang mulai meruntun. Sepi. Di muka pintu masuk panggung, sepasang kekasih melangkah masuk ke dalam panggung dan mencari tempat duduk mereka, menandakan waktu tayangan filem seterusnya di dalam panggung tersebut hampir bermula. Menyedari hal itu, Razuan bangun dan berjalan menaiki anak tangga ke muka pintu masuk dan keluar sambil berpapasan dengan penonton yang mulai masuk ke dalam panggung.
Joni hanya menggeleng. “I’m hoping that, while this generation is completely hopeless, that the next generation that will come out will demand the real thing.” Kata Tarantino yang pernah dibacanya dulu mulai tergantung dalam benak fikirnya,
“Dah lah Joni, Pa’an. Termenung pun tak dapat apa,” ujar Idham.
…
No comments:
Post a Comment